Bila menyentuh tentang soal cinta dan perhubungan, pelik sebenarnya dengan sikap segelintir lelaki yang lebih suka gunakan kekerasan daripada berbincang menggunakan akal fikiran yang telah diberikan oleh Yang Maha Kuasa. Tidak dapat dengan cara baik, mereka akan dapatkan dengan cara kekerasan. Untuk apa? Kepuasan diri sendiri? Tidak! Sebenarnya kita tidak akan rasa puas. Kita akan menjadi lebih agresif berbanding kita yang dahulu. Pendekatan yang cukup cemerlang, tetapi, tidak membawa apa-apa kebaikan.
Cerita ini patut dijadikan pengajaran: A (perempuan) berkenalan dengan B (lelaki). A pelajar. B sudah bekerja. Hubungan yang terjalin adalah hubungan cinta. Cinta separuh mati (kononnya). B juga turut melamar A menjadi suri hatinya. Bila A ada masalah kewangan, B membantu. Kata B, kerana cinta, apa sahaja akan dilakukan untuk A. Dalam hati, A rasakan cinta B begitu tulus. Akhirnya, setelah dua tahun berpasangan dan bagai perigi mencari timba, A mengesyorkan supaya mereka berkahwin. A merasakan dia terlalu sayang hingga tidak sanggup kehilangan B. Pada A, inilah jalan terbaik kerana dia sendiri malu untuk meminta dan menerima bantuan daripada B setiap kali dilanda masalah kewangan. Sekurang-kurangnya, andai mereka berkahwin, duit yang bakal diperolehi adalah nafkah yang sepatutnya diberikan oleh B padanya.
Cadangan A ditolak apabila A turut mengesyorkan nikah gantung atas alasan, dia masih lagi belajar. Pada B, kesempurnaan adalah lebih penting. Nikah Gantung tiada dalam senarai hidupnya. Dia mahukan perkahwinan ala selebriti walaupun dia tahu itu semua diluar kemampuannya. A yang mendengarkannya, cuma mampu terdiam tanpa kata.. Lelaki yang satu masa dulu dikenalinya sebagai seorang yang baik, tidak pernah meninggikan suara dengannya serta sentiasa memberikan sokongan ketika dia berada dalam kesusahan mengejutkannya dengan kata-kata membangga diri. A tertanya-tanya, kenapa B jadi begini. Lantas, kesal dengan sikap B, A memutuskan hubungan. B menerima sahaja keputusan A.
Namun perasaan bersalah membuatkan A menghubungi B semula. Pada B, diberitahunya bahawa dia memutuskan hubungan kerana dia berpendapat B telah jauh berubah. Tetapi, atas dasar kasih, A meminta supaya hubungan itu diperbaiki dan mengharapkan agar B kembali kepadanya. Kata-kata A menjadi bahan ketawa kepada B, kerana baginya, dia bukan orang yang akan menjilat ludahnya sendiri.Lalu, A membawa diri.
Beberapa tahun kemudian, A bertemu semula dengan B. Dalam setiap kata, B seakan menyalahkan A kerana memutuskan hubungan mereka. B meminta A kembali kepadanya, tetapi, A enggan menerima. Kata A, kisah lama tidak perlu diungkit kembali. Walaupun masih ada kesan cinta dihatinya, A ragu-ragu dengan masa depan yang bakal diberikan B. Malah bertahun berlalu tanpa sebarang khabar, membuatkan A tidak lagi kenal dengan siapa B sebenarnya. B yang tidak dapat menerima pula, mengatakan, andai A tidak mahu menerimanya, B akan lakukan sesuatu yang bakal dikesali oleh A. B juga mengatakan selama ini dia telah banyak membantu A, jadi A perlu akur dengan kehendaknya. A jadi takut dengan kata-kata yang dianggap sebagai ugutan itu. Namun, dia lebih merasakan takut untuk mengatakan ya.
Kisah diatas adalah bukan cerita rekaan tetapi diungkap dari bibir seorang sahabat. Apapun, dalam dunia, jika kita kata kita cinta, kenapa kita perlu jadi individu yang mementingkan kehendak diri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mungkin pada B di akhir kisah, dia mahukan A sentiasa menjadi miliknya. Dia mahu A membalas jasa baiknya selama ini. A pula dihimpit antara perasaan serba salah dan takut mendengarkan kata-kata berbaur ugutan daripada B. Kalau apa yang dilakukan oleh B adalah atas dasar cinta, wajarkah A merasakan takut dengan apa yang telah diperkatakan oleh B? Jika B percaya dengan maksud 'Jodoh ditangan Tuhan', maka layakkah dia menjadi Tuhan untuk menentukan untung nasib masa depan A dengannya?
Hipokrit dan tidak dapat menerima hakikat. Kalau beginilah sikap kamu wahai lelaki.. jangan salahkan wanita sekiranya kami jual mahal kerana pandang anda sebelah mata hanya semata-mata anda bersikap kasar terhadap kami kaum perempuan. Tetapi, kalau anda berada ditempat kami, apa rasanya jika kami lakukan perkara yang sama terhadap anda? Fikirkanlah sendiri. Semoga anda mendapat jawapan atas apa yang anda lakukan ke atas kami.
No comments:
Post a Comment