Saturday, November 27, 2010

Cinta

Bila menyentuh tentang soal cinta dan perhubungan, pelik sebenarnya dengan sikap segelintir lelaki yang lebih suka gunakan kekerasan daripada berbincang menggunakan akal fikiran yang telah diberikan oleh Yang Maha Kuasa. Tidak dapat dengan cara baik, mereka akan dapatkan dengan cara kekerasan. Untuk apa? Kepuasan diri sendiri? Tidak! Sebenarnya kita tidak akan rasa puas. Kita akan menjadi lebih agresif berbanding kita yang dahulu. Pendekatan yang cukup cemerlang, tetapi, tidak membawa apa-apa kebaikan.

Cerita ini patut dijadikan pengajaran: A (perempuan) berkenalan dengan B (lelaki). A pelajar. B sudah bekerja. Hubungan yang terjalin adalah hubungan cinta. Cinta separuh mati (kononnya). B juga turut melamar A menjadi suri hatinya. Bila A ada masalah kewangan, B membantu. Kata B, kerana cinta, apa sahaja akan dilakukan untuk A. Dalam hati, A rasakan cinta B begitu tulus. Akhirnya, setelah dua tahun berpasangan dan bagai perigi mencari timba, A mengesyorkan supaya mereka berkahwin. A merasakan dia terlalu sayang hingga tidak sanggup kehilangan B. Pada A, inilah jalan terbaik kerana dia sendiri malu untuk meminta dan menerima bantuan daripada B setiap kali dilanda masalah kewangan. Sekurang-kurangnya, andai mereka berkahwin, duit yang bakal diperolehi adalah nafkah yang sepatutnya diberikan oleh B padanya.
Cadangan A ditolak apabila A turut mengesyorkan nikah gantung atas alasan, dia masih lagi belajar. Pada B, kesempurnaan adalah lebih penting. Nikah Gantung tiada dalam senarai hidupnya. Dia mahukan perkahwinan ala selebriti walaupun dia tahu itu semua diluar kemampuannya. A yang mendengarkannya, cuma mampu terdiam tanpa kata.. Lelaki yang satu masa dulu dikenalinya sebagai seorang yang baik, tidak pernah meninggikan suara dengannya serta sentiasa memberikan sokongan ketika dia berada dalam kesusahan mengejutkannya dengan kata-kata membangga diri. A tertanya-tanya, kenapa B jadi begini. Lantas, kesal dengan sikap B, A memutuskan hubungan. B menerima sahaja keputusan A.
Namun perasaan bersalah membuatkan A menghubungi B semula. Pada B, diberitahunya bahawa dia memutuskan hubungan kerana dia berpendapat B telah jauh berubah. Tetapi, atas dasar kasih, A meminta supaya hubungan itu diperbaiki dan mengharapkan agar B kembali kepadanya. Kata-kata A menjadi bahan ketawa kepada B, kerana baginya, dia bukan orang yang akan menjilat ludahnya sendiri.Lalu, A membawa diri.
Beberapa tahun kemudian, A bertemu semula dengan B. Dalam setiap kata, B seakan menyalahkan A kerana memutuskan hubungan mereka. B meminta A kembali kepadanya, tetapi, A enggan menerima. Kata A, kisah lama tidak perlu diungkit kembali. Walaupun masih ada kesan cinta dihatinya, A ragu-ragu dengan masa depan yang bakal diberikan B. Malah bertahun berlalu tanpa sebarang khabar, membuatkan A tidak lagi kenal dengan siapa B sebenarnya. B yang tidak dapat menerima pula, mengatakan, andai A tidak mahu menerimanya, B akan lakukan sesuatu yang bakal dikesali oleh A. B juga mengatakan selama ini dia telah banyak membantu A, jadi A perlu akur dengan kehendaknya. A jadi takut dengan kata-kata yang dianggap sebagai ugutan itu. Namun, dia lebih merasakan takut untuk mengatakan ya.

Kisah diatas adalah bukan cerita rekaan tetapi diungkap dari bibir seorang sahabat. Apapun, dalam dunia, jika kita kata kita cinta, kenapa kita perlu jadi individu yang mementingkan kehendak diri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mungkin pada B di akhir kisah, dia mahukan A sentiasa menjadi miliknya. Dia mahu A membalas jasa baiknya selama ini. A pula dihimpit antara perasaan serba salah dan takut mendengarkan kata-kata berbaur ugutan daripada B. Kalau apa yang dilakukan oleh B adalah atas dasar cinta, wajarkah A merasakan takut dengan apa yang telah diperkatakan oleh B? Jika B percaya dengan maksud 'Jodoh ditangan Tuhan', maka layakkah dia menjadi Tuhan untuk menentukan untung nasib masa depan A dengannya?

Hipokrit dan tidak dapat menerima hakikat. Kalau beginilah sikap kamu wahai lelaki.. jangan salahkan wanita sekiranya kami jual mahal kerana pandang anda sebelah mata hanya semata-mata anda bersikap kasar terhadap kami kaum perempuan. Tetapi, kalau anda berada ditempat kami, apa rasanya jika kami lakukan perkara yang sama terhadap anda? Fikirkanlah sendiri. Semoga anda mendapat jawapan atas apa yang anda lakukan ke atas kami.

Saturday, November 13, 2010

Sempurnakah Anda?

Anak saudara saya, umur 4 tahun, pernah bercakap pada saya. "Apa masalah bahasa Melayu?" Dia cakap begitu kerana tidak puas hati bila saya marah dia yang bercakap dalam bahasa budak-budak yang saya panggil bahasa 'Alien' yang memang saya tidak faham. Saya, daripada bengang, terus ketawa mendengarkan nada kata-katanya. Alah, budak-budak.. biasalah. Yang bagusnya, selepas itu dia tidak lagi bercakap dalam bahasa 'Alien'nya itu.

Tapi, itu kanak-kanak yang memang akan kita kata tidak sempurna. Remaja? Entahlah? Saya juga pernah melalui zaman remaja. Saya juga pernah merasa darah muda. Saya juga ada hati yang suka memberontak. Saya juga punya perasaan untuk menghina orang lain bila saya marah. Cuma, saya tidak mempraktikkan semua itu dalam kehidupan saya kerana saya tahu, saya pasti, kalau saya buat begitu kepada orang lain, orang lain akan buat lebih teruk daripada apa yang telah saya lakukan kepadanya. Dan hakikatnya, jika kita masih lagi ada perasaan marah, menurut nafsu dan rasa ingin menghina orang lain, maka kita masih lagi belum boleh mengiktiraf kesempurnaan kita.

Saya tidak mahu mempertikaikan hak orang lain. Saya akan sentiasa mempersoalkan di mana hak saya. Hidup penuh dengan soalan dan jawapan, jadi kalau saya ada soalan tanpa jawapan, saya tidak akan rasa puas hati. Dalam proses belajar sendiri, kita diajar untuk bertanya 'kenapa', 'mengapa', 'siapa', 'di mana' dan yang lain-lain supaya kita lebih faham keadaan sebenarnya. Kalau kita tahu, kita akan lebih faham tentang asal-usul sesuatu kejadian. Kita jadi insaf dan akan ambil iktibar tentang apa yang telah berlaku. Hidup berasaskan semata-mata jawapan juga tidak akan menjamin sahih kebenaran yang kita pegang selama ini. Dan yang pasti, tidak akan menjamin kesempurnaan seseorang itu hanya kerana dia mempunyai jawapan yang dia rasakan begitu pasti.

Apa yang kita alami dan apa yang kita sudah lalui, tidak menjamin kesempurnaan kita. Kita bukan manusia yang sempurna. Walaupun kejadian manusia pertama sepertimana tertulis dalam alQuran, adalah kejadian yang sempurna, tapi cara kita berfikir dan perlakuan kita membuat kita masih belum sempurna. Saya punya seorang kawan, yang baik tutur katanya, menjaga adabnya sebagai perempuan, patuh kepada ibu dan bapanya, menjaga Islam dan Imannya dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap apa yang diusahakannya serta berserah kepada Tuhan apabila dia ditimpa masalah. Bila saya katakan dia begitu sempurna pada saya, dia katakan saya salah. Dia kata dirinya tidak sempurna, dan tiada apa didunia ini yang boleh mencapai tahap sempurna melainkan Allah sahaja.

Dalam dunia, ada yang membuat amal dan menderma, tapi dia kafir. Tidak dijamin masuk syurga. Ada yang membuat maksiat, tapi tidak melawan ibu bapa, belum tentu masuk syurga. Di bulan ramadhan, masih ada lagi peniaga yang menjual air oren kordial yang diakui sebagai air oren yang diperahnya sendiri hanya kerana untuk mengaut keuntungan berlipat-ganda. Dalam diam seseorang, ada juga marahnya. Hakikat, kita tidak sempurna. Amalan baik seharian, belum dapat menjamin kesempurnaan manusia. Yang mengetahuinya, cuma Dia. Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui.

Setiap kali saya berbuat sesuatu, saya akan nilai semula. Ilmu yang saya pelajari waktu di Universiti, mengajar saya supaya membuat pernilaian tentang sesuatu perkara yang akan dan telah kita lakukan. Itu lebih adil. Tidak berat sebelah, bukan setakat pada diri sendiri, tapi juga pada orang lain. Ya, andaikata, cara kita salah, gunakan peluang yang ada untuk memperbaikinya. Andai kata kita betul, bukan sepatutnya meninggi diri, tapi biarlah menjadi satu kemanisan untuk kita simpan sepanjang hayat kita.

Manusia, jangan lupa! Kita bukan Tuhan untuk menghukum orang lain. Kita cuma manusia biasa. Jika kita mengatakan kita yang lebih sempurna daripada orang lain, mungkin kita patut berfikir semula kenapa Agama Islam menyuruh kita ber'pakaian' sama putih seperti orang lain ketika berada di Masjidil Haram bagi mengerjakan haji. Kenapa kita dibalut kain kafan warna putih sebelum masuk ke liang lahad sedangkan banyak lagi warna yang lain yang boleh digunakan untuk bertemu dengan Tuhan yang Satu. Kenapa? Kerana padaNya, kita semua serupa. Tiada yang berbeza, apatah lagi sempurna. Kita hambaNya. Kita lupa, yang kita masih lagi mengharapkan rezeki daripada Allah SWT dan kerana Dia kita hidup, kerana Dia kita dimatikan.

Ramai orang kata Islamnya sempurna, tetapi hakikat sebenarnya, dia masih gagal untuk mempraktikkan kesempurnaan Islam dalam segala aspek kehidupannya. Dia kata, dia sudah menutup aurat. Tidak nampak tangan, menutup muka hingga nampak mata sahaja dan tidak nampak kaki kerana memakai stokin. Sebenarnya dia berfikiran salah. Aurat dalam Islam bukan setakat diukur dari cara dia berpakaian. Tetapi turut diukur dari cara dia menjaga adab kata, perlakuan dan deria-derianya. Apa guna kalau setakat menutup badan dengan pakaian lengkap, sedangkan dia tidak menjaga mulutnya dan masih mencerca orang lain yang tidak disukainya? Sama seperti mengupas buah yang nampak enak tetapi tiada isinya. Sama seperti kita membaca AlQuran dan khatam berkali-kali, tetapi kita tidak sedikit pun memahami maksud disebaliknya sedangkan maksud itulah yang perlu kita hayati untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan kita sehari-hari.

Saya memang tidak sempurna. Tetapi, saya tidak akan sekali-kali membiarkan ketidaksempurnaan saya menjadi sesuatu yang boleh dipijak-pijak oleh orang lain. Tidak sempurna, bukan bermakna kita boleh diperlekehkan oleh orang lain. Tidak juga bermakna kita boleh meraih simpati orang lain. Tidak sempurna mengajar kita supaya berusaha memperbaiki diri.

Kalau anda kata anda sempurna, fikirkanlah berulangkali. Cermin kekurangan diri sebelum kita mempertikaikan kekurangan orang lain. Kenapa? Siapa tahu, mungkin kekurangan seseorang itu sebenarnya adalah satu kelebihan untuk dia menghentam anda semula. Waallahualam!